Blog DramaQueen

16 March 2013

DOSA

                                        ---------------------------------------------------------

Abangku yang mahu kahwin adalah seorang pekerja di kedai runcit. Bekerja untuk apek-apek sebagai tukang angkut beras atau tukang menyukat minyak curah liter. Aku sesekali  menyebutnya ‘kuli Cina’. Terdengar perkauman, tapi bukan kerana aku membenci orang Cina, cuma kerana aku sangat membenci abangku itu. Satu alasan kenapa aku sangat membencinya adalah kerana dia yang membuatku hilang teruna. Kerana dia, secara tidak langsung, mengusirku dari bilikku di rumah. Cerita ini sangat panjang dan kalian harus bersabar denganku.

Si Ricky sebaiknya disuruh sekolah pondok saja, biar biliknya boleh dipakai abangnya,” aku mencuri dengar perbualan orang tuaku. Mereka fikir aku belum pulang sekolah waktu itu. Perbualan tersebut adalah asal dan sebab musabab perginya aku dari rumah. Perkenalkan, namaku Ricky. Sebenarnya aslinya Riki. Tapi aku lebih suka menuliskannya dengan c dan y, biar terdengar cool dan kebaratan.

“Mana mungkin dia mahu,” balas ibuku “Terus mahu diletak di mana isteri abangnya? 
Di loteng dengan tikus?” tanya bapaku secara retorik.Ibuku terdiam cukup lama. “Dia kan masih kecil, mana pandai hidup di sekolah pondok.”Boleh, dia itu cuma manja,” remeh bapaku.Tepat saat itulah, aku memutuskan untuk masuk sekolah pondok. Bukan kerana aku mengalah atau kasihan pada calon isteri abangku nanti, (dia mahu tidur di loteng pun aku tidak peduli padanya). tetapi lebih kerana aku sedang melawan kedua orang tuaku. Itu semua fitnah yang mereka katakan bahawa aku ini manja dan masih kecil. Aku mungkin pemalas, tapi aku sama sekali tidak manja. Mereka  harus tahu itu.

Waktu itu umurku hampir 18 tahun dan aku belajar di tingkatan 3 STM*. Di sekolah aku memilih jurusan mekanikal dengan harapan suatu saat dapat bekerja di bengkel atau di kilang sebagai ahli teknisi*, bukan bahagian produksi. Aku juga tertarik dengan jurusan elektrik, tapi kerja buka pasang lebih menarik minatku dibandingkan mati kering kerana terenjat elektrik. Tidak ada apa yang menarik tentang sekolahku. Aku juga bukan orang yang alim yang tidak tinggal solat 5 waktu sehari serta berdoa dan berwirid setelahnya. Aku hanya orang biasa. Masuk sekolah pondok waktu itu, adalah cabaran yang sangat besar dalam hidupku.Esok harinya setelah mengetahui bahawa aku akan diusir dari rumahku, aku memutuskan untuk berkeliling kampung naik basikal. Aku akan mencari informasi tentang lokasi-lokasi sekolah pondok. Dalam otakku, daripada nanti aku disuruh, yang nampak macam aku dipaksa, lebih baik aku yang berinisiatif sendiri mencari sekolah pondok. Aku tidak ingin memberikan orang tuaku kepuasan bahawa mereka memiliki kekuatan untuk mengarah-arahku. Aku tidak suka diarah. Kesimpulannya, daripada diusir, lebih baik pergi dulu, kan?

Masih naik basikal waktu itu, sekayuh dua kayuh aku singgah di masjid-masjid dan berharap melihat remaja 
soleh berkopiah yang boleh memberikan sedikit petunjuk. Tapi aku tidak menemukan pemuda yang pergi ke masjid. Kebanyakan adalah pakcik-pakcik, dan aku tidak minat bercakap dengan orang tua. Mereka membosankan, tukang ceramah, dan merasa betul selalu.Aku mengayuh terus seharian—kerana tidak punya 
motor—sehingga keringat membasahi seluruh seluar dalamku (waktu itu seluar dalamku belum berjenama, tapi ini cerita yang lain lagi) sampai ketika aku kepenatan dan memutuskan untuk duduk terdampar bersama dengan beberapa pemuda samseng berbau tengik yang biasanya kecoh main gitar, membakar rokok dan minum kopi di pinggir jalan atau pos ronda. Aku bukanlah golongan mereka, tapi aku dapat berteman dengan mereka. Salah seorang dari preman* kampung itu menawarkan rokok, tapi aku tidak mengacuhkannya. Waktu itu aku belum merokok.Orang-orang hilir mudik di depan kami tanpa menyapa.

 Beberapa orang tua yang lalu memandang dengan sinis penuh penilaian negatif. Aku balas memandang mereka dengan benci.Ketika itu seorang pemuda yang memakai kopiah dan kain pelikat pun lalu, kelihatannya dia habis dari masjid. Aku menghadangnya dengan terburu-buru, membuat yang lain memerhatikanku.

“Santri* ya?” tanyaku langsung saja.
“ Bukan,” geleng pemuda berkopiah itu.
“Habis tu kenapa solat di masjid?” aku hairan.
“Disuruh bapaku,” jawabnya polos.

Aku langsung kehilangan semangat. Gila, ibadah pun atas suruhan orang lain. Kalau menurutku, yang namanya ibadah harus atas kemahuan sendiri. Bercakap dengan orang yang mahu diarah-arah begini, pasti tidak ada gunanya. Tanpa mengatakan yang lain lagi, aku pergi meninggalkannya yang terpinga-pinga kehairanan.Ketika kembali duduk bergeletakan dengan preman kampung yang tadi, salah seorang dari mereka menepuk bahuku.

“Kenapa?” tanyanya. Mulutnya yang rongak berbau sampah.
“Tak ada apa-apa,” jawabku sejenak menahan nafas. 
“Tengah cari sekolah pondok ni,” lanjutku.
“Ooh,” dia berseloroh seperti kurang mengerti tapi ingin 
terlihat faham. “Mahu jadi ustaz?” tanyanya lagi.
“Tidaklah. Saja-saja.”
Dia diam, aku diam. Lalu tiba-tiba dia berteriak, “Obet!! 
Obet!!!” seperti teringat sesuatu.
“Hadir!” sahut yang bernama Obet.
“Dulu dia pernah sekolah pondok,” jelas pemuda rongak 
bermulut busuk itu padaku.

Aku berkedip tidak percaya. Pos ronda itu bukan tempat yang diharapkan dapat memberikanku informasi tentang sekolah pondok, tapi di situlah aku menemukannya, dalam diri seorang pemuda bernama Obet. Dengan tahi lalat besarnya di hidung, hari itu dia menceritakan pengalaman sekolah pondoknya padaku, juga pada semua yang ada di situ. Menarik sekali, dan kami mendengar seperti menonton dongeng di televisyen.
                                                                                 ◊ 

Keesokan hari aku mengatur janji dengan Obet. Dia menghantarku melihat beberapa sekolah pondok yang dia tahu. Katanya, dia pernah tinggal di beberapa tempat yang kami kunjungi. Tapi, melihat dari penampilannya, aku sungguh ragu jika dia dulu adalah seorang santri. Seluar Levi's compangcamping yang kotor, kemeja T yang koyak-rabak dan rambut dreadlock yang kusut. Tidak ada kopiah mahupun serban.
“Orang tidak harus dinilai dari penampilannya,” dia seperti tahu apa yang aku fikirkan ketika aku mendengarnya mengatakan bahawa dia pernah tinggal selama 2 tahun di sekolah pondok."dulu masuk sekolah pondok dipaksa orang tuamu?” aku meneka.Dia ketawa dengan lantang, mengiyakan. “Iya, mereka 
sangka aku akan bertaubat.”Dari cerita yang aku dengar, para orang tua selalunya memaksa anak-anak mereka yang degil masuk sekolah pondok, biar tidak degil lagi. Biar setan-setan yang ada di dalam tubuh si anak itu kepanasan lalu pergi, dan akhirnya si anak boleh berubah jadi santri yang soleh-solehah, rajin mengaji dan berbakti serta berakhlak terpuji. Diibaratkan sekolah pondok itu adalah sebuah penjara untuk anak-anak bermasalah. Obet adalah produk gagal dari tujuan mulia itu.Meski kesannya demikian, tetapi itu kan kata orang. Ketika akhirnya aku masuk ke sana, banyak juga yang rupanya serius mengaji dan mendalami ilmu agama Islam kerana keinginan masing-masing. Ku kira, penilaian kita terhadap sesuatu akan berubah seiring dengan bertambahnya pengetahuan kita terhadap hal itu. Jadi, jangan percaya apa ‘kata orang’, sebelum kita tahu sendiri.Selesai menunjukkan sekolah pondok yang terakhir, kami pulang dan aku membelikan Obet seliter minyak untuk motornya, kerana waktu itu aku hanya mampu berbuat sedemikian.

Sampai di rumah aku duduk di hadapan meja makan,memeriksa tudung saji dan menemukan selonggok ikan kecil kerinting yang rasanya terlalu masin, berkerumun sedih di atas piring. Aku malas makan itu. Menegaskan sekali bahawa kami orang miskin. Aku berprasangka bahawa ibuku mungkin sengaja memasak sesuatu yang aku tidak suka, biar aku merasa tidak selesa di rumah. Aku memandang seisi rumah. Rumah kami memang tidak besar. Cuma ada 2 bilik. Satu dipakai olehku, satu dipakai oleh kakakku, orang tuaku tidur di lantai ruang tamu di hadapan televisyen. Abangku si kuli Cina tidur di kedai boss-nya.Aku mempunyai 3 orang adik-beradik yang lebih tua. Satu, dia si kuli Cina yang akan kahwin. Yang cuma pulang kalau minta diurut kerana masuk angin atau kepenatan. Dua, si kakak yang lulus SMA terus menjadi pekerja kilang. Kerjanya banting tulang tapi tubuhnya sangat montok, Mungkin kerana bahagia hidup di kilang dikelilingi oleh banyak lelaki yang bukan saudara-maranya. Dan tiga, abang sulungku yang hidupnya terumbang-ambing. Aku memanggilnya si pencuri. Kerana setiap kali pulang ke rumah, kerjaannya mencopet* duit simpanan ibu atau mengambil emas kakakku. Tidak ada satu pun dari kami yang mengetahui di mana dia sekarang. Dia sudah lari dari rumah sejak dulu. Kami tidak tahu dia masih hidup atau tidak.Kalau dia pulang pun kami tidak terlalu gembira, kerana pada akhirnya sesuatu dari rumah akan hilang seiring kembali menghilangnya dia. Mencuri dari keluarga sendiri adalah tindakan paling pondan yang pernah ku tahu.Ayahku kerja sebagai pengawal, sebelah kakinya Tempang bekas jatuh dari pohon kelapa.

Aku tidak menyukai ayahku. Dan ibuku seorang makcik-makcik tipikal yang mengurus ayam peliharaan dan gosip antara tetangga. Kami hampir tidak pernah berkumpul bersama. Apa lagi di meja makan. Aku bahkan hampir tidak pernah berbual dengan mereka. Aku kurang suka berbual dengan orang dewasa.Malah ketika itu, hampir tersangkut di fikiranku kalau mungkin sebenarnya bapaku cuma mereka-reka alasan bahawa aku harus pergi kerana tidak ada bilik buat pengantin baru. Padahal sebenarnya dia memang benci padaku dan tidak suka melihatku ada di rumahnya. Dia melihatku sebagai ancaman, sebagai aturan baru yang harus ditaati. Ya, dia takut persaingan. Dia takut ibu lebih mementingkanku, dibandingkan dirinya. Dia cemburu. Dia membenciku. Tapi dia harus tahu, aku sudah membencinya terlebih dahulu.Lagi pula, kenapa juga si kuli Cina itu harus tinggal di rumah ini? Kenapa tidak di rumah keluarga si perempuan? Kenapa tidak menyewa di luar sahaja? Kenapa harus merebut bilikku? Tapi pertanyaan-pertanyaan itu tidak kucari jawapannya.Aku terlanjur dibakar rasa kesal kerana dikata masih kecil dan manja. Dan aku ingin membuktikan pada mereka bahawa aku sama sekali tidak demikian. Memang aku enggan makan ikan masin atau mencuci baju atau memegang mop dan sebagainya, tapi itu bukan bererti aku manja. Aku cuma malas. Semua anak lelaki memang pemalas kan? Tapi aku tidak manja.Buktinya? Aku sudah memutuskan akan masuk sekolah pondok yang mana.Ibuku yang sedang mengelap piring basah menyedari bahawa aku enggan makan. Dapur dan meja makannya memang satu ruangan.“Aku mahu masuk sekolah pondok,” tiba-tiba kalimat itu keluar dari mulutku, meluncur seperti longsor* salju. Aku berhasil mendapatkan perhatian ibu. Dia meletakkan 
piring di tangannya. Longsor salju itu pasti kena tepat di ulu hatinya. Ah, dia pasti terkejut.

“Kenapa? Kenapa tiba-tiba cakap macam ni?” Mencuba 
bersikap biasa, padahal dia pasti terkejut minta ampun.
“Tak tiba-tiba pun, sudah kufikirkan sejak lama. Aku sudah menemukan tempatnya.”
Ibuku tidak dapat mengatakan apa pun. Dia masih sangat terdiam.
“Bilang dengan bapak kamu,” katanya.
“Tak mahu, ibu saja yang cakap,” aku berdiri,
 meninggalkan kerumunan ikan bilis sialan* itu yang pastinya sedang 
menangis ingin kusentuh. Ibuku, pastinya dia sangat shocked.
Pokoknya aku tidak akan memberikan orang tuaku 
kesempatan untuk mengusirku. Titik.

Di bilik, aku melihat isi ruangan itu untuk kali terakhir.Agak bau hapak kerana jarang dibersihkan dan jendela yang jarang dibuka. Aku mengunci pintunya. Aku suka mengunci pintu untuk memiliki privasi. Aku tidak suka ada orang yang main masuk sahaja ke bilikku, biarpun hanya sekadar untuk menyapu lantainya. Bilik ini milikku dan hanya aku yang boleh membersihkannya. Debu-debunya adalah milikku. Tapi dengan tololnya aku akan meninggalkannya kerana ego.Pakaian ku keluarkan dari almari dan ku longgok bersepah di tepi katil. Aku tidak memiliki banyak baju. Aku hanya membelinya sekali tiap lebaran. Jadi, semua yang kumiliki aku keluarkan, bermula dari seluar singkat sampailah ke kemeja T berlubang-lubang dimakan usia. Setelah itu aku berbaring bingung.Kira-kira pukul 10 malam pintu bilikku diketuk, tapi aku tidak berganjak. Dari suara seretan kakinya, aku boleh meneka itu pasti bapaku.


 Dia mengetuk lagi, ketukannya terdengar ragu. Aku mendengus tidak ingin mempedulikannya. Seharusnya dia lebih tegas jika ingin berbincang denganku. Pengecut. Tapi aku memang tidak ingin berbual dengannya kerana aku boleh meneka arah perbicaraan itu nanti. Kami akan duduk ramai-ramai di ruang tamu sambil mereka menanyaku ini-itu. “Kenapa kamu mahu masuk sekolah pondok?” padahal ada binar bintang di matanya kerana senang aku akan pergi. Lagi pula aku tidak tertarik untuk berbual ramai-ramai seperti itu. Drama keluarga adalah hal yang sangat kuhindari. Itu kampungan.Esok paginya aku ke sekolah seperti biasa dan ketika pulang aku sudah menemukan sebuah kotak Indomie di atas tilamku. Isinya diperiksa. Baju-bajuku tersusun rapi di dalamnya, yang sudah buruk sepertinya tidak diajak, ada setengah kotak Indomie, juga ada ubat gigi, berus gigi baru dan sabun buku. Weh, aku memang mahu pergi, tapi tidak tahu bakal diusir secepat ini. Untuk sejenak fikiranku kalut kerana kesal. Aku ingin menendang kotak itu biar hancur  berantakan.

“Kita kan tak ada beg besar, jadi pakai kotak sahaja,” 
ibuku muncul, dia salah menterjemahkan gurat kemarahan 
di wajahku. Dia fikir aku marah dengan kotak buruk itu. 
Aku buru-buru mengikat kotak itu dengan tali rafia yang 
sudah disediakan.
“Mahu bertolak jam berapa?”
“Sekarang,” urat-urat kesal muncul di pelipisku.
“Tunggu bapakmu dulu, nanti dia yang hantar.”
“Tak perlu.”
Ibuku mendekat, “Kamu itu tak boleh begini, nanti biar 
bapak yang perkenalkan kamu ke kiai nya. Takkanlah kamu 
mahu tiba-tiba datang macam anak yatim minta kasihan?. 
Kamu kan masih ada orang tua?”

Bapaku datang sebelum Maghrib, dia membawa selembar kain pelikat baru dan sepotong baju melayu warna krim. Padahal kalau tahu dia bakal membelikanku baju itu, aku mahu minta yang warnanya hitam saja biar kelihatan seperti Pasha Ungu* dalam video klip lagu-lagu agama di bulan puasa. Dia menyuruh aku memakai baju Melayunya sekarang biar kelihatan rapi di depan kiai* nanti. Aku menurut. Yang sebenarnya muak kerana harus menghidu aroma baju-baru-terus-pakai yang sepertinya menegaskan identitiku, seorang anak kampung miskin.Ketika keluar bilik aku sekalian sudah memakai kopiah, yang hitam dan tinggi menjulang di kepalaku. Songkok model lama. Khas orang yang tidak beribadah dan memakainya pun hanya sesekali. Nanti aku bakal tahu kalau santri itu sama mementingkan fesyen dan gayanya dengan anak-anak 
muda kebanyakan.“Kalau duitnya sudah habis, pulanglah,” ibuku memberikan wang sebanyak 50 ribu rupiah. Aku tidak pernah diberi wang sebanyak itu olehnya. Paling banyak pun cuma lima ribu untuk belanja setiap hariHatiku masih dibakar rasa kesal ketika akhirnya kami berangkat menggunakan motor Honda Impressa kepunyaan bapak. Kami tidak banyak bercakap. Sepanjang jalan aku hanya menunjukkan arah ke mana kami harus berbelok dan seterusnya. Kami melalui sawah, jalan besar, jalan sempit, lorong-lorong kampung perumahan dan kawasan perkuburan hingga setengah jam dan akhirnya sampai.Sekolah pondok itu, bangunannya terbuat dari anyaman bilik bambu dan berbentuk semacam dewan. 

Ada kaki-kaki penyangga yang membuat bangunannya seperti terapung. Dan di kolong, terlihat bermacam tetek-bengek* disusupkan. Kayu-kayu, dapur-dapur rosak, karung-karung yang entah isinya apa, dan bermacam-macam benda lainnya. Dari sekian bangunan sekolah pondok yang telah ditunjukkan oleh Obet, yang ini yang menjadi pilihanku.Sekolah pondok yang aku pilih bukan yang besar dan menarik. Muridnya tidak banyak,jauh dari hal-hal yang moden. Kata Obet ini sekolah pondok salafi. Yang masih tradisional, mahu dalam bentuk hal yang diajarkan, ataupun dari segi peraturan. Tidak ada peraturan yang ketat, semuanya serba boleh ditoleransi. Dalam tanda kurung ‘bebas’. 

Selain kerana alasan itu, sekolah pondok ini letaknya paling dekat dengan sekolahku, dan meski bangunannya seperti surau yang mahu roboh, aku tidak peduli.Bapak meletakkan motornya tidak jauh dari surau. Tapi bangunan itu sepi.“Rumah kiainya di sebelah mana?” tanya bapak.Aku terkejut sendiri. Menggeleng. Mana aku tahu di mana rumahnya? Kukira kiainya tinggal di dalam sekolah pondok juga. Sayup-sayup kami mendengar seseorangberteriak dari sebuah arah. Ada bangunan lain di sekitar situ, sebuah gazebo besar berlantai seramik. Diterangi neonneon yang menyala rapi. Kami dapat melihat para santri sedang tertunduk ke buku berkertas kuning di pangkuannya dan aku menemukan sumber suara menjerit-menjerit itu. Seorang lelaki gendut yang duduk di depan para santri, rupanya sedang mengajar.

“Itu pak kiai-nya?” tanya bapak.
Aku mengangkat bahu lagi.

Kami menunggu sampai pengajian itu selesai. Kami mencangkung sambil saling diam dan aku sudah digigit seribu nyamuk ketika akhirnya para santri itu menyerbu bangunan sekolah pondok kira-kira pukul 9. Beberapa santri kehairanan kerana melihat kehadiran kami, tapi seperti sudah mengerti.“Panggil Bang Ali, beritahu dia ada tamu,” kata salah seorang dari mereka. Santri yang paling kecil berlari balik ke arah gazebo.

“Assalamualaikum,” sapa bapak sambil berdiri.
“Waalaikumsalam,” jawab mereka serentak.

 Aku masih tertunduk malas.Tidak berapa lama orang yang bernama Bang Ali itu datang, langkahnya sedikit tergesa-gesa. Hingga hari ini aku masih mengingat senyumnya, gigi taringnya yang sedikit ke depan dan ekspresi wajahnya yang ramah tapi nakal. Rambutnya ikal panjang hampir separas bahu dengan kopiah haji basah-lembap menghiasi kepala. Ada kumis dan janggut nipis di mukanya. Kira-kira berumur dua puluhan. Perawakannya agak kecil tapi tegap. Bapaku mengucapkan salam lagi. Lalu bersalaman dengannya.

                                            ------------------------------------------------------

P/S:
Aku tak tau kenapa? aku sendiri  tertarik dengan novel ni. 
Kau nak tahu kenapa? tapi kalo taknak tahu, tak apa.

3 comments:

Meyra John said...

Mari join sini. ^^ Best!!

http://meyrajohn.blogspot.com/2013/03/giveaway-topup-pearlcholic-birthday-by.html

Thanks!!

Ariff Masrom said...

Kenapa ya?

Adelin Imtiaz said...

hmm